Thursday, March 4, 2010

Temubual bersama Tokoh Bekas Pelajar - Dato’ Dr. Ma’amor bin Osman



Pada hari Sabtu bersamaan 6 Februari 2010 yang lalu, seramai 6 orang ahli e-Tinta telah pergi ke kampung halaman Dato’ Dr. Ma’amor bin Osman yang terletak di Kampung Paku, Alor Gajah, Melaka dengan diiringi oleh guru pembimbing iaitu Pn. Noorwati binti Sulieman. Para pelajar tersebut ialah Nur Anis Atika b. Zainal Abidin (5 Alfa), Nabilah bt. Zainudin (5 Beta), Mohd Rafie bin Shaharudin (4 Alfa), Fatin Fazira bt. Che Daud (4 Alfa), Rais bin Ishak (3 Alfa) dan Ainina Nabilah bt. Abdul Jalil (2 Alfa). Kami telah bertolak pada pukul 8.15 pagi dengan menaiki bas sekolah.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk tiba ke destinasi. Setibanya di sana kami disambut oleh Dato’ Dr. Ma’amor dan ahli keluarganya. Kami turut dijamu dengan sarapan pagi. Layanan mesra yang diberikan telah menghilangkan rasa kekok kami untuk berhadapan dengan seorang tokoh negara yang dikenali ramai.
Dato’ Dr. Ma’amor bukan sahaja insan yang prihatin dengan hal-hal kepenggunaan bahkan alam sekitar. Beliau amat menyukai suasana kehijauan dan kedamaian. Beliau telah membawa kami ke kebun miliknya. Kami terpegun melihat suasana di sana. Terdapat pelbagai jenis pokok buah-buahan yang sayur-sayuran yang ditanam bahkan ada antara namanya yang tidak pernah kami dengar atau kenali. Terdapat juga binatang peliharaan seperti ayam dan itik serta kolam ikan.
Setelah puas menikmati panorama itu, kami dibawa berehat ke sebuah pondok yang disediakan untuk sesi temu ramah. Kami telah memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang ada untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah hidup, persekolahan, alam perkahwinan dan kerjaya beliau. Dato’ Dr. Ma’amor begitu ramah bercerita sambil menyelitkan nasihat buat kami. Cita-cita asal beliau sebenarnya adalah untuk menjadi seorang arkitek tetapi berubah kepada doktor kerana pada beliau hanya ada dua kerjaya yang akan menggunakan panggilan tersebut sehingga ke akhir hayat iaitu doktor dan cikgu. Beliau turut mengimbas kembali kenangan zaman persekolahan semasa di MOZAC. Antaranya makan nasi hitam. Beliau menggelarkan sedemikian bukanlah kerana nasi tersebut hangit tetapi hitam kerana dihurungi lalat selain hanya makan berlaukkan sardin. Pelbagai lagi pengalaman pahit manis turut diceritakan.
Setelah selesai temu ramah, kami diberi peluang untuk memancing di kolam beliau. Aktiviti ini adalah satu pengalaman baru yang amat berharga buat kami. Selesai memancing, kami pulang semula ke rumah Dato’ Dr. Ma’amor. Kali ini, kami dijamu pula dengan juadah makan tengahari. Menunya adalah ikan masak asam pedas yang merupakan kepakaran isteri Dato’ Dr. Ma’amor, itik masak rendang dan sayuran campur. Memang lazat semuanya.

Pada pukul 1.00 tengahari kami semua meminta diri untuk pulang. Pn. Noorwati telah menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Dr. Ma’amor sebagai tanda terima kasih kami. Sesungguhnya, ini merupakan pengalaman manis kami. Saya mewakili rakan-rakan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pn. Noorwati selaku guru pembimbing kami.

No comments:

Post a Comment