Tuesday, March 2, 2010

Sesi Temubual dengan Profesor Dr. A. Rahman A. Jamal, Pengarah UMBI



Sepanjang perbualan, Prof memberikan kerjasama yang sangat baik pada kami. Ide-ide bernas yang dilontarkan oleh beliau amat bermakna bagi kami dan secara tidak langsung menjadi inspirasi pada kami untuk lebih cemerlang khususnya di MOZAC.

Selain berkongsi pengalaman semasa bersekolah di SM Sains Muzaffar Syah pada tahun 1976, beliau juga turut menceritakan pengalaman hidupnya sehingga berjaya meraih dua ijazah kedoktoran; pertama sebagai Doktor Perubatan dan diikuti oleh Doktor Falsafah dalam bidang yang amat dekat di hati beliau iaitu Pakar Pediatrik dan Onkologi. Ternyata seorang bekas pelajar yang agak ‘revolusional’ sewaktu di sekolah, sebenarnya mempunyai hati nurani yang amat penyayang dan mudah tersentuh apabila melihat kanak-kanak yang berjuang untuk hidup melawan kanser. Justru, itulah yang mendorong beliau untuk melibatkan diri dalam misi angkasawan ke ISIS membawa sel-sel kanser untuk dijalankan ujikaji di sana. Malah kejayaan paling bermakna bagi beliau ialah apabila melihat kanak-kanak yang dirawat di wad beliau pulih dari kanser.

Meskipun telah menduduki kerusi Pengarah, beliau mencerminkan budi pekerti yang luhur, sentiasa ingat akan kebesaran Allah, dan tidak sombong atau bangga diri. Beliau sudi bergambar dengan kami, menjamu kami dengan makan tengahari, menyediakan cenderahati dari UMBI untuk kami dan sanggup menghantar kami hingga ke kawasan letak kereta walaupun dalam hujan renyai-renyai. Beliau ingin datang ke MOZAC satu hari nanti untuk melihat keadaan masa kini dan berkongsi ilmu dengan semua.

Kami meninggalkan perkarangan HUKM kira-kira pukul 1.45tgh, dan selepas solat dan rehat di Kajang, kami tiba di MOZAC pada pukul 6ptg.

No comments:

Post a Comment